Diet

70% daripada kejayaan untuk kurus dan lebih penting untuk kekal kurus adalah bergantung kepada diet atau pemakanan yang betul. Namun begitu, ramai yang mula untuk kuruskan badan sering tersilap memahami konsep diet yang betul untuk kurus ini. Kebanyakan orang akan berlapar untuk satu tempoh masa dengan tujuan untuk mengurangkan kalori yang masuk dengan harapan akan kurus. Walaupun pada awalnya strategi diet berlapar ini kelihatan paling berkesan, namun, setelah beberapa ketika proses penurunan berat badan ini akan berhenti, malah dalam kebanyakan kes, berat badan mereka akan bertambah dengan dahsyatnya selepas itu. Hal ini berlaku kerana apabila kita tidak makan, badan kita akan bertindak balas secara semulajadi untuk menghadapi keadaan tiada makanan ini dengan menurunkan kadar metabolik asas badan. Kesannya, walaupun kalori yang kita ambil sangat sedikit, pembakaran atau kegunaan tenaga kalori juga semakin lama semakin sedikit yang menyebabkan berat badan kita gagal untuk turun lagi setelah beberapa ketika. Perkara ini diburukkan lagi kerana diet yang berasaskan lapar ini tidak boleh bertahan lama kerana amat menyiksakan, akhirnya, kita akan membuat keputusan untuk berhenti yang kemudiannya mengakibatkan berat badan naik mendadak kerana kadar metabolisma badan masih lagi rendah. Oleh itu, jelas bahawa diet berlapar ini adalah cara yang salah bahkan membahayakan kesihatan kerana badan akan kekurang nutrisi yang penting untuk fungsi badan.
Persoalannya sekarang, bagaimanakah diet atau pemakanan yang betul untuk kurus? Sebelum itu, tahukah anda bahawa anda boleh kurus dengan hanya mengamalkan diet yang betul tanpa perlu bersenam?
Ada 3 aspek penting yang perlu kita ingati tentang diet sihat untuk kurus iaitu makanan yang seimbang, tabiat pemakanan yang betul dan akhir sekali adalah gemuk kerana minuman.
Makanan Seimbang
Kita makan untuk membekalkan tenaga dan nutrisi yang membolehkan badan kita berfungsi secara optimal. Seperti yang telah diterangkan di atas, kita perlu makan dan diet berlapar adalah bukan pilihan yang bijak. Sebaik-baik makanan adalah makanan yang seimbang iaitu makanan yang mengandungi semua nutrisi utama seperti protein, karbohidrat, lemak, fiber dan vitamin.
Protein
Protein adalah nutrisi penting untuk manusia. Sumber protein yang penting adalah seperti ayam, daging, ikan, telur dan susu. Protein bukan sahaja penting untuk membina otot, tetapi juga penting untuk organ-organ lain di dalam badan.
Karbohidrat
Karbohidrat adalah sumber tenaga utama badan. Sumber karbohidrat adalah seperti nasi dan oat. Jika diambil dalam kuantiti yang betul, karbohidrat adalah sangat penting untuk menjana metabolism badan untuk pembakaran lemak dan membekalkan tenaga untuk kita hidup aktif.
Sayur-sayuran dan Buah-buahan
Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah penting untuk diet kurus kerana kedua-dua makanan ini mempunyai kandungan fiber yang tinggi yang dapat membantu perut berasa tidak lapar tanpa menambah banyak kalori. Selain fiber, sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi pelbagai jenis vitamin yang sangat penting untuk kesihatan badan.
Lemak
Walaupun secara logiknya untuk kurus kita tidak mahu menambah lebih banyak lemak ke dalam badan, namun, lemak dalam kuantiti yang sedikit terutamanya lemak yang sihat seperti dari sumber minyak zaitun dan kekacang dapat membantu proses kita untuk kurus. Tambahan pula, lemak diperlukan oleh badan untuk membina hormon-hormon tertentu.

Tabiat Pemakanan Betul
Sekarang kita telah memahami beberapa perkara asas tentang diet kurus iaitu:-
1. Kita perlu makan kalori lebih sedikit daripada kalori yang kita bakar setiap hari tetapi perlu lebih daripada kadar metabolik asas badan kita untuk memastikan fungsi badan tidak terjejas.
2. Kita perlu mengelakkan kenaikan insulin yang keterlaluan dalam darah kita kerana ini akan menyebabkan kita berasa cepat lapar dan mengalakkan penyimpanan lemak.
3. Kita perlu makan makanan yang seimbang yang mengandungi sumber protein, karbohidrat, lemak, fiber dan vitamin yang secukupnya untuk keperluan nutrisi badan.
Oleh itu, kita perlulah mengubah tabiat makan kita setiap hari yang bersesuaian dengan perkara-perkara asas di atas agar impian kita untuk kurus akan tercapai. Hanya dua tabiat sangat mudah yang kita perlu lakukan iaitu kurangkan kuantiti makanan dalam setiap hidangan dan makan lebih kerap sehingga lima atau enam kali sehari.
Kurangkan Kuantiti Makanan Dalam Setiap Hidangan
Mungkin anda selama ini makan satu atau sehingga dua atau tiga pinggan nasi beserta satu atau dua ketul lauk dan sedikit sayur untuk setiap hidangan. Tabiat pemakanan yang begini adalah salah kerana akan menyebabkan gula dalam darah meningkat mendadak dan begitu juga dengan insulin. Tambahan pula jika anda makan dua atau tiga kali seperti ini dalam sehari, sudah pasti kalori yang anda ambil jauh lebih tinggi daripada yang sepatutnya.
Tabiat pemakanan yang betul untuk kurus adalah untuk kita makan sedikit sahaja dalam satu hidangan iaitu 1/3 cawan nasi, 1-2 ketul lauk, 2/3 cawan sayur dan buah sebelum atau selepas makan untuk setiap hidangan. Untuk memudahkan, anda juga boleh menggunakan petua anggaran ini iaitu nasi bersaiz lebih kurang 1 genggam, lauk yang bersaiz 1 tapak tangan dan sayur sebanyak 2 saiz gengaman.
Namun begitu, untuk anda yang baru ingin memulakan transformasi kuruskan badan ini, dicadangkan anda bermula dengan perubahan yang kecil dahulu iaitu dengan hanya separuhkan kuantiti daripada apa yang anda selalu makan sebelum ini. Kemudian, setelah beberapa lama anda kurangkan lagi sedikit demi sedikit sehingga anda mampu mencapai cadangan satu hidangan di atas. Lakukan perlahan-lahan dan jangan sesekali letakkan diri anda dalam keadaan lapar dan tertekan kerana diet. Hal ini sangat penting untuk memastikan anda konsisten dan berkekalan dengan pemakanan sihat.
Sudah tentu makanan yang dimasak tanpa minyak seperti rebus dan bakar dan sumber protein rendah lemak seperti dada ayam dan makan beras perang boleh mempercepatkan proses anda untuk kurus, tetapi, sebagai permulaan makan sahaja apa yang anda sering makan dalam kuantiti yang sedikit seperti dicadangkan kemudian, secara perlahan-lahan tambahkan makanan-makanan sihat ini ke dalam diet anda.
Makan 5-6 Kali Sehari
Anda ketika ini mungkin merasakan bagaimana makan 1 genggam nasi sahaja adalah bukan diet berlapar yang tidak digalakkan. Jawapannya adalah kerana anda masih lagi belum diberitahu tentang tabiat pemakanan sihat untuk kurus yang kedua iaitu anda PERLU MAKAN KERAP iaitu sehingga lima hingga enam kali sehari. Hanya dengan tabiat makan kerap ini sahajalah yang memungkinkan anda makan dalam kuantiti yang sedikit seperti yang disarankan di atas kerana anda makan sebelum anda berasa lapar. Caranya begitu mudah, makan sarapan pagi secepat mungkin setelah anda bangun. Sebaiknya makan dalam masa 30 minit pertama selepas anda bangun. Jangan sesekali meninggalkan sarapan anda kerana ini adalah hidangan yang terpenting. Ianya akan menjana tenaga untuk badan anda dan memastikan kadar metabolisma badan anda pada hari tersebut adalah pada tahap terbaik. Kemudian, makan baki hidangan anda pada hari tersebut selang tiga atau empat jam sekali. Jika anda tidak lapar tiga atau empat jam setelah makan, bermaksud kuantiti makanan anda salah, maka anda perlu kurangkannya.
Gemuk kerana Minuman
 Satu lagi perkara yang perlu diberi penekanan tentang diet sihat adalah kandungan gula atau kalori yang mengemukkan daripada minuman. Kebanyakan orang yang diet selalunya hanya menumpukan perhatian mereka kepada apa yang mereka makan dan terlupa bahawa apa yang mereka minum sebenarnya yang telah mensabotaj usaha mereka selama ini. Minuman seperti kopi kita setiap pagi, teh susu, teh o, sirap dan apatah lagi minum berkarbonat mengandungi kalori yang sangat tinggi. Bukan itu sahaja minuman yang diiklankan untuk kesihatan atau gaya hidup aktif seperti milo, minuman bertenaga yang kita minum selepas bersenam dan jus buah-buahan juga sebenarnya merosakkan program diet anda. Masalah ini diburukkan lagi jika anda meminum minuman bergula tinggi ini untuk menghilangkan haus. Oleh itu, pastikan anda minum air kosong sahaja untuk menghilangkan rasa dahaga anda dan hanya meminum minuman manis ini sekali-sekala sahaja untuk menyedapkan tekak. Anda juga boleh melatih diri anda untuk menikmati minuman seperti teh o, kopi atau Nescafe tanpa gula. Walaupun pada mulanya agak sukar, percayalah setelah lebih kurang sebulan anda akan terbiasa dengan rasa tanpa gula ini. Alternatif yang lain adalah dengan menggantikan gula dalam minuman anda dengan pemanis Stevia yang mempunyai hampir kosong kalori.
Lengkapkan ilmu cara untuk kurus anda dengan membaca tentang senaman:-

No comments:

Post a Comment